Kitaran haid yang normal biasanya berlaku di antara 21 – 35 hari dan ia boleh menjadi tidak teratur apabila jarak di antara 2 kitaran haid kurang dari 21 hari atau melebihi 35 hari. Kuantiti pendarahan yang keluar juga boleh terganggu (terlalu banyak atau sedikit). Sesetengah wanita mengalami pendarahan minimal atau ‘spotting’ di antara kitaran haid.
Kitaran haid tidak normal ini paling kerap berlaku di peringkat awal akil baligh kerana sistem reproduktif dan kitaran hormon yang belum stabil. Walaubagaimanapun, wanita yang di pertengahan usia juga boleh mengalaminya.
Antara faktor yang boleh menyebabkan haid tidak teratur adalah seperti stress, kurang tidur, keturunan, berat badan yang tidak ideal (BMI terlampau rendah atau tinggi), pemakanan tidak sihat, pengambilan alkohol berlebihan dan kurang darah merah (Anemia).
Masalah haid tidak teratur ini boleh mengganggu aktiviti harian serta mengundang isu kesihatan mental seperti ‘anxiety’ sekaligus mengganggu prestasi pelajaran atau pekerjaan seseorang sekiranya berlarutan.
Apa yang boleh anda lakukan sekiranya anda mempunyai masalah haid tidak teratur?
- Amalkan pemakanan sihat dan seimbang, lebihkan sayur dan buah buahan yang tinggi iron, minum air putih mencukupi
- Elakkan makanan segera dan mengandungi bahan pengawet serta kurangkan minuman manis
- Bersenam sekurang-kurangnya 30 min, 2-3 hari seminggu
- Memastikan berat badan sentiasa ideal (BMI Normal)
- Bijak mengawal stress dan menguruskan kehidupan harian
- Segera berhenti merokok !
Anda juga dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor bagi mengenalpasti punca terutamanya bagi wanita yang baru berkahwin dan ingin memiliki cahaya mata.
Haid yang tidak teratur boleh mengganggu hubungan kelamin anda serta memberi kesukaran untuk merancang tempoh kesuburan. Doktor akan membantu anda mengenal pasti punca haid anda tidak teratur melalui pemeriksaan fizikal dan ultrasound sekiranya diperlukan. Ujian darah hormon juga boleh dilakukan sekiranya perlu untuk melihat tahap kesuburan anda.
Sumber:
- Mittiku, Y. M., Mekonen, H., Wogie, G., Tizazu, M. A., & Wake, G. E. (2022). Menstrual irregularity and its associated factors among college students in Ethiopia, 2021. Frontiers in Global Women’s Health, 3. https://doi.org/10.3389/fgwh.2022.917643
- Bae, J., Park, S., & Kwon, J.-W. (2018). Factors associated with menstrual cycle irregularity and menopause. BMC Women’s Health, 18(1). https://doi.org/10.1186/s12905-018-0528-x