Serviks atau pangkal rahim ialah organ yang meyambungkan bahagian rahim dan faraj serta membentuk saluran kelahiran. Bahagian serviks atau pangkal rahim ini berisiko diserang kanser dan ianya sering berlaku dalam kalangan wanita berusia 30 tahun ke atas, merokok (risiko 4 kali ganda lebih tinggi) dan mempunyai sejarah keluarga menghidapi penyakit kanser.
Jangkitan kuman Human Papilloma Virus (HPV) juga merupakan antara faktor utama para wanita menghidap kanser serviks. Virus ini boleh berjangkit melalui hubungan kelamin dan individu yang aktif melakukan hubungan seksual serta sering bertukar pasangan berisiko tinggi untuk dijangkitinya. Selain HPV, Human Immunodeficiency Virus (HIV) / AIDS dan Herpes juga boleh menjadi punca seseorang wanita menghidapi kanser serviks.
Tanda-tanda kanser serviks / pangkal rahim:
- Tompokan darah atau ‘spotting’ di antara tempoh suci dari haid
- Tempoh haid yang berpanjangan dan kuantiti yang banyak dari biasa
- Pendarahan selepas putus haid melebihi setahun (menopause)
- Sakit ketika melakukan hubungan kelamin
- Keluar cecair berlebihan dari faraj / vagina
Anda dinasihatkan untuk segera mendapatkan konsultasi serta pemeriksaan doktor sekiranya mengalami tanda-tanda di atas bagi tujuan pengesanan dan pencegahan awal. Doktor akan menasihati anda tentang langkah-langkah yang perlu diambil terutamanya bagi golongan berisiko tinggi.
Para wanita juga digalakkan untuk melakukan ujian saringan Pap smear berkala setiap 3 tahun di fasiliti kesihatan terdekat bagi tujuan saringan kerana kanser serviks pada tahap awal mempunyai peluang untuk sembuh dengan baik. Antara langkah pencegahan lain yang boleh diambil ialah dengan mengambil suntikan HPV vaccine.
Sumber:
- Dottie. (2011, September 28). Kanser Pangkal Rahim (Serviks). PORTAL MyHEALTH. http://www.myhealth.gov.my/kanser-pangkal-rahim/
- Basic Information About Cervical Cancer | CDC. (2020, July 29). Www.cdc.gov. https://www.cdc.gov/cancer/cervical/basic_info/index